dof_klang.png

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan terdapat salah laku dalam pengendalian siasatan oleh pegawai penyiasat Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) di Pejabat Perikanan Daerah Pelabuhan Klang (Cawangan Perlindungan Sumber).

EAIC memaklumkan siasatan itu mendapati terdapat salah laku dan kelewatan yang tidak wajar oleh pegawai penyiasat berkenaan dalam melengkapkan semua kertas siasatan bagi tahun 2021 di bawah kendaliannya sehingga menyebabkan kes-kes itu masih belum diselesaikan.

"Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap pegawai penyiasat DOF itu kepada pihak berkuasa tatatertib (PBT) DOF, mengeluarkan surat kepada Ketua Pengarah DOF dengan cadangan penambahbaikan terhadap prosedur operasi standard (SOP) siasatan dan operasi serta membuat pemantauan rapi terhadap semua pegawai penyiasatnya,” menurut kenyataan itu di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, EAIC menerima aduan terhadap pegawai penyiasat DOF berkenaan yang tidak menjalankan siasatan dengan sewajarnya ke atas semua kertas siasatan bagi tahun 2021 di bawah kendaliannya sehingga menyebabkan kes-kes itu terbengkalai sedangkan rampasan barang kes telah dibuat.

Dalam kenyataan berlainan, EAIC turut memaklumkan siasatan mereka mendapati pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak mematuhi Perintah Tetap Ketua Pengarah apabila melepaskan sebuah kapal yang disyaki melakukan kesalahan di perairan zon Bintulu.

"Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap pegawai yang terlibat kepada PBT Maritim Malaysia,” menurut kenyataan itu.

EAIC sebelum ini menerima aduan terhadap Maritim Malaysia Sarawak berhubung dengan ketidakpatuhan pegawai terhadap Perintah Tetap Ketua Pengarah Maritim Malaysia berkaitan prosedur tangkapan. - Bernama

 

SUMBER : Berita Harian

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.