
BACHOK: Seorang daripada tiga anggota Polis Bantuan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dikesan membekalkan dadah kepada penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Serdang, Kedah, sudah dipecat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pemecatan anggota Polis Bantuan berkenaan daripada perkhidmatan dibuat pada Oktober lalu.
Mengenai dua lagi anggota Polis Bantuan yang disiasat, beliau berkata, mereka akan menghadap Lembaga Tatatertib esok untuk tindakan lanjut yang juga proses akhir siasatan.
“Kesalahan berkenaan mengambil masa untuk disiasat dan perlu melalui prosedur tertentu. Dua anggota Polis Bantuan yang terbabit sudah dipindahkan ke AADK Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis bersahur sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di PUSPEN Bachok yang turut dihadiri Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, awal pagi tadi.
Katanya, siasatan mendapati kakitangan ditamatkan perkhidmatan itu bukan sahaja membekalkan dadah kepada penagih atau dirujuk sebagai klien PUSPEN yang sedang menjalani rawatan pemulihan, malah individu itu sendiri turut positif dadah.
“Kesalahan yang dilakukan adalah serius, ibarat ‘harapkan pegar, pegar makan padi’. Tindakan ke atas ketiga-tiga kakitangan itu bukan dibuat tergesa-gesa susulan laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), sebaliknya siasatan dalaman AADK sudah dimulakan sejak November 2024.
Media sebelum ini melaporkan, EAIC mendedahkan berlaku pelanggaran arahan oleh pegawai ketika bertugas di PUSPEN Serdang sehingga membawa kepada 47 klien disyaki positif dadah jenis methamphetamine.
EAIC dalam kenyataan berkata, siasatan dijalankan selaras Subseksyen 27(4) Akta EAIC 2009 [Akta 700] susulan aduan diterima.
Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada pihak berkuasa tatatertib AADK dengan syor hukuman tatatertib mengikut Peraturan 38 Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU(A) 395/1993].