KETIKA memberi ucapan ke­pada para mahasiswa baharu Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan menasihati anak-anak muda agar sentiasa hormat menghormati di antara satu sama lain.

“Jika kita percaya bahawa seluruh umat manusia perlu berpegang kepada nilai-nilai kebersamaan yang berbentuk universal, maka kita perlu memupuk perasaan dan sikap hormat menghormati sesama kita, menghormati kepelbagaian yang ada, menghormati kelainan yang wujud sesama kita dari segi keupayaan dan kemampuan, kelainan dan perbezaan kefahaman dan pegangan hidup, kelainan dari segi agama, bangsa dan budaya, kelainan dan perbezaan panda­ngan, malah banyak lagi kelainan lain yang seharusnya kita hormat yang perlu dipupuk dengan sebaik mungkin yang merentasi apa jua perbezaan dan kelainan yang ada,” kata Zulkefli.

Inilah yang seharusnya menjadi pegangan rakyat di negara ini. Kebebasan dalam apa jua pun tidak bermakna seseorang itu boleh melakukan apa sahaja yang disukai dalam negara ini.

Perbuatan membawa anjing menggunakan troli di pasar raya misalnya menunjukkan kejahilan semakin ramai rakyat negara ini yang sudah tidak lagi menghormati budaya dan agama orang lain.

Bukan sahaja di pasar raya, malah kita tahu ramai yang berbuat demikian di pantai tempat orang ramai berkelah, taman-taman awam dan pelbagai lagi yang menimbulkan perasaan tidak senang bagi mereka yang tidak suka dengan perlakuan sedemikian.

Perasaan hormat menghormati ini perlu dipupuk seawal mungkin. Hormat orang yang lebih tua, hormat adab dan budaya orang lain, hormat pemimpin dan hormat institusi undang-undang. Apatah lagi hormat menghormati undang-undang dan peraturan negara malah norma-norma masyarakat sekeliling yang ada.

Misalnya lagi, kejadian mat rempit melanggar sehingga menyebabkan kematian polis trafik bukanlah perkara baharu malah sering kita dengar berlaku. Mereka seolah-olah enggan mengakui kesan buruk yang ditinggalkan, nasib keluarga mangsa dan pelbagai lagi yang berpunca daripada hilang rasa hormat kepada orang lain. Malah kejadian seperti ini jelas menunjukkan betapa terdapat segelintir masyarakat yang sudah tidak menghormati lagi undang-undang-negara.

Adakah kemajuan ilmu pengetahuan dan pembangunan menyebabkan kita makin jauh mening­galkan perasaan hormat ini malah tidak lagi sensitif dengan perasaan orang lain?

Pada masa sama, kita tahu sebahagiannya berpunca daripada terdapatnya pihak yang sengaja membangunkan nilai-nilai baharu atas nama kebebasan dan hak individu, sesuatu pihak atau sesuatu kumpulan untuk melakukan apa sahaja demi mencapai matlamatnya sehinggakan dengan sengaja pula memprovokasikannya melalui pel­bagai aktiviti yang jelas bertentangan dengan norma, peraturan malah undang-undang negara dan manusia bertamadun.

Media sosial dan Internet yang sepatutnya digunakan untuk tujuan kebaikan malangnya digunakan oleh sesetengah pihak untuk menanam api kebencian, kebebasan bersuara yang melampau dan sebagainya sehingga menanam sikap biadab, memaki hamun, mencarut dan bertindak sewenang-wenang­nya tanpa ada batas sempadan, akhlak dan perasaan malu untuk terus berbuat demikian.

Begitu juga bila sesuatu peraturan dikuatkuasakan untuk tujuan menghormati sesuatu institusi, sesetengah pihak sengaja mengaitkan dengan pegangan agama dan kaum semata-mata untuk lari dari sikap sebenar yang jahil dan buta budaya, malah melupakan kepentingan menghormati institusi, jabatan dan organisasi.

Semua ini perlu dibetulkan segera. Kembalilah kepada pega­ngan nilai-nilai murni masyarakat yang berteraskan kepada menghormati. Inilah adab dan akhlak pega­ngan semua agama, bangsa dan budaya yang sering meminta kita saling hormat menghormati yang bermula dengan memahami dan mengambil tahu kepentingan yang ada di sebalik norma dan amalan masyarakat sedia ada.

Bukan sahaja di negara ini, pergi ke mana sahaja di dunia ini, kita perlu menghormati, adab dan budaya masyarakat setempat yang bertentangan dengan apa yang kita percaya.

Orang tua-tua kita pun telah lama berpesan agar menjaga adab dan tingkah laku kita agar dapat diterima dalam sesuatu masyarakat.

Oleh itu, janganlah pula ada pihak yang cuba menjadi wira apabila tingkah laku songsang dan anti-budaya seperti ini ditegur atau diambil tindakan.

Teguran dan tindakan terma­suk oleh pihak berwajib penting dalam mengekalkan kesejahteraan masyarakat negara yang berdaulat, merdeka dan yang berteraskan kedaulatan undang-undang ini.

Yang lebih penting, masyarakat perlu kembali kepada usaha mendidik diri dan anak-anak untuk menghormati orang lain dengan kepelbagaian budaya, agama, norma dan hukum hakam yang ada.

Sikap angkuh dan menganggapnya sebagai hak peribadi, kumpulan atau pihak tertentu sahaja tidak akan menyelesaikan masalah.

Inilah satu daripada cabaran sehati sejiwa setelah 58 tahun kemerdekaan negara ini yang seharusnya berada dalam acuan jati diri yang berakal budi dan bertamadun tinggi.

PENULIS ialah Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM).

Sumber : Utusan Online

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.