KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) diberitahu bahawa N. Dharmendran, tahanan yang ditemui mati dalam lokap polis dua tahun lepas, mempunyai pelbagai rekod jenayah berat termasuk samun bersenjata, kongsi gelap dan tembak. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Risikan dan Operasi Negeri Selangor ACP Yahya Abdul Rahman berkata rekod jenayah itu menjadi punca kepada penahanan Dharmendran pada 11 Mei 2013. Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan sebagai saksi ke-27 pada sesi kedua pendengaran awam EAIC berhubung kematian Dharmendran di dalam tahanan polis di Bilik Pendengaran, Tingkat 13 Menara TH Perdana, di sini, Khamis. Dharmendran ditahan pada 11 Mei 2013 dan meninggal dunia pada 21 Mei 2013 ketika di dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL). Yahya berkata mengikut rekod, Dharmendran terlibat dalam satu pergaduhan pada hari berkenaan dan dia ke Balai Polis Pudu untuk membuat laporan polis. Bagaimanapun, katanya polis turut menerima satu laporan mengenai kejadian tembak pada hari sama, dan Dharmendran kemudian ditahan kerana disyaki terlibat dengan kejadian itu. "Pertamanya, Dharmendran (pada 11 Mei 2013) disyaki terlibat dalam kes tembak dua lelaki yang (mengakibatkan) kedua-duanya koma di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). "Kita dapat maklum balas tentang penglibatan dia (Dharmendran) pada hari kelapan (19 Mei 2013) apabila mangsa sedar dan boleh bercakap serta memberitahu yang itulah (Dharmendran) tembak saya (mangsa). Kebetulan, Dharmendran ada (melepaskan) tembakan dalam beberapa kejadian tembak di Brickfields," katanya. Yahya berkata ketika itu, beliau bertugas sebagai Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur dan bertanggungjawab terhadap kes jenayah berat berbentuk kekerasan seperti kes bunuh, samun bersenjata, culik, pemerasan dan kes menjadi ancaman negara. Menurutnya tahanan reman Dharmendran sepatutnya tamat pada 21 Mei 2013 tetapi pihaknya bersetuju menahan semula Dharmendran pada hari sama atas alasan mangsa koma telah sedar dan dapat mengecamnya selain dia turut mempunyai rekod jenayah lain. "Saya bersetuju (melalui perbincangan) supaya (Dharmendran) ditangkap semula memandangkan dia ada kes tembak, dia ada terlibat dalam kongsi gelap, samun dan macam-macamlah," katanya. Yahya berkata pada 21 Mei 2013, beliau tiba di IPK KL sebelum 8 pagi dan hanya berada di pejabatnya sehingga kira-kira 10.45 pagi kerana perlu ke Putrajaya untuk menguruskan satu lagi kes berprofil tinggi. Oleh itu, katanya semua urusan penahanan semula Dharmendran diserahkan kepada anggotanya yang berpangkat Inspektor. Bagaimanapun, seorang anggota polis berpangkat Sarjan menghubunginya selepas solat Asar untuk memaklumkan bahawa Dharmendran pengsan. Tidak lama selepas itu, beliau dihubungi pula pegawai bertugas yang memaklumkan Dharmendran sudah meninggal dunia. Ditanya bagaimana keadaan mayat Dharmendran ketika berada di lokap, Yahya berkata tiada kecederaan meragukan semasa beliau memeriksa mayat itu bersama-sama beberapa pegawai D9. Yahya turut menafikan adanya dawai pengokot (stapler) di telinga Dharmendran ketika itu dan hairan bagaimana kesan (dawai) itu didakwa berada di telinga Dharmendran oleh pakar perubatan Forensik. Susulan kes kematian Dharmendran, empat anggota polis IPK KL ditahan dan dituduh menyebabkan kematiannya. Pada 12 Dis 2014, Mahkamah Tinggi di sini membebaskan empat anggota polis itu daripada tuduhan membunuh kerana mendapati tiada prima facie terhadap mereka. Perbicaraan bersambung Jumaat.

Sumber : Bernama

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.