Seorang daripadanya iaitu Koperal Mazlan Muhd. Nor, 34, menghadapi pertuduhan mene­rima suapan wang tunai tersebut manakala lima yang lain didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Mazlan menerima habuan berkenaan.

Keenam-enam mereka me­ngaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing.

Mereka didakwa menerima rasuah itu daripada Abdul Wahab Makhtar sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori yang dipandu oleh anaknya, Mohd. Syafiq yang tidak mempunyai permit dan lesen membawa kayu getah.

Mazlan menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana didakwa menerima suapan wang tunai masing-masing sebanyak RM7,000 dan 1,000.

Lans Koperal Mohd. Azmie Majid, 29, Konstabel Mohamad Firdaus Abdullah, 24, Koperal Mohd. Juhairy Jamaludin, 32, Lans Ko­peral Mohd. Hazly Tomiran, 29, dan Konstabel Mohd. Hafizi Abdullah, 28, yang didakwa bersubahat bersama Mazlan turut menghadapi dua pertuduhan mengikut akta yang sama.

Mereka didakwa menerima suapan wang tunai RM7,000 daripada Abdul Wahab di Kedai Makan Sri Muadzam Ikan Bakar, Rompin di sini di antara pukul 2 pagi dan 4 pagi, 18 Disember 2014 dan bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menerima rasuah RM1,000 di Restoran Anjung D Cafe, Rompin kira-kira pukul 7.55 malam, 22 Disember tahun yang sama.

Pertuduhan terhadap Mohd. Hazly dan Mohd. Hafizi turut dibacakan bersama Seksyen 28(1)(c) dan Seksyen 25(3) akta tersebut setelah mereka berdua didakwa tidak melaporkan perlakuan ra­suah Mazlan.

Jika disabitkan kesalahan masing-masing boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Habibah Mohamed Yusof membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 3 September ini.

Sumber : Utusan Online