Ketua Pengarahnya, Ir. Mohtar Musri berkata, ini juga bagi memastikan pihak terbabit mematuhi Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kawalan Terhadap Bahaya Kemalangan Besar Dalam Perindustrian) 1996.

Beliau berkata, langkah itu diharap dapat mengurangkan kadar kemalangan terutama yang melibatkan kegagalan struktur sementara di tapak-tapak pembinaan hingga menyebabkan berlakunya kemalangan dan kematian.

“Tidak dinafikan peraturan yang disediakan ini tidak dipatuhi secara menyeluruh hingga menyebabkan berlakunya kemalangan di kawasan berkenaan.

“Oleh itu, kita akan memperketatkan peraturan melalui pemeriksaan berkala dan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang didapati gagal mengikuti SOP dan peraturan berkenaan,” katanya pada sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kebangsaan 2015, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Mohd. Sahar Darusman.

Mohtar berkata, pihaknya akan mewajibkan pembinaan struktur sementara di tapak pembinaan direka bentuk dan diperiksa pemasangannya oleh jurutera bertauliah yang diiktiraf Lembaga Jurutera Malaysia (LJM).

“Sekiranya gagal patuhi peraturan, maka tidak boleh pasang. Kalau memasang struktur tanpa rujuk reka bentuk yang disahkan jurutera bertauliah, kita akan ambil tindakan.

“Mungkin kita bagi notis pembaikan atau berhenti kerja, kompaun atau sediakan kertas siasatan untuk dibawa ke mahkamah,” katanya.

Sumber : Utusan Online