KUALA LUMPUR 31 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin isu di Cameron Highlands, Pahang boleh ditangani secara berkesan dengan penglibatan semua pihak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, beliau telah menggariskan semula beberapa syor yang telah dibentangkan tahun lalu dalam pembentangan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Pahang, kelmarin.

Katanya, dalam pembentangan yang dipengerusikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob itu, beliau turut mengemukakan perkara baharu dan status pencapaian yang telah dilaksanakan.

“Syor-syor yang dikemukakan itu merangkumi aspek dasar dan perundangan, sistem dan prosedur kerja, penguatkuasaan, saluran aduan, komunikasi dan pendidikan masyarakat, pengiktirafan serta penghargaan.

“Kerajaan negeri Pahang menyambut baik kesemua saranan yang dikemukakan oleh pihak kami dan berterima kasih kepada SPRM atas syor-syor yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mustafar turut memaklumkan perkara itu dalam sesi forum bertajuk Rasuah: Tangisan Cameron Highlands Bersama Penduduk Setempat di Tanah Rata, Cameron Highlands anjuran Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, semalam.

Yang turut hadir dalam forum tersebut, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil dan Pengarah SPRM, Perak, Datuk Nooraziah Abd. Manaf.

Forum yang dihadiri kira-kira 80 penduduk setempat itu turut dihadiri Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Higwhlands (REACH), R. Ramakrisnan dan wakil Persatuan Pertubuhan Pertanian Cameron Highlands, Wong Seng Yee sebagai ahli panel.

Menurut kenyataan itu, Mustafar berkata, Adnan turut memaklumkan bahawa sebahagian besar syor yang dikemukakan SPRM itu telah pun diambil tindakan manakala sebahagian lagi akan dilaksanakan dalam waktu terdekat.

Katanya, dalam usaha menangani isu Cameron Highlands, kerajaan negeri Pahang akan memberi fokus ke atas tiga bidang penting iaitu penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan.

Dalam pada itu beliau turut menyeru semua pihak termasuk kerajaan Pusat, negeri, agensi-agensi penguatkuasa, penduduk dan masyarakat luar supaya memainkan peranan masing-masing secara menyeluruh bagi menyelamatkan Cameron Highlands.

Jelas Mustafar, komitmen masyarakat daripada segi emosi juga perlu untuk melahirkan rasa cinta pada tempat sendiri seterusnya bertindak bersama-sama menangani isu tersebut.

Utusan Malaysia menerusi Laporan Khas tahun lalu telah mendedahkan aktiviti penerokaan haram yang berlaku di sekitar kawasan Cameron Highlands yang mendapat perhatian seluruh rakyat negara ini hingga perkara itu disifatkan SPRM sebagai ‘tragedi negara’.

Ia disusuli dengan laporan pada 28 Jun lalu yang memaparkan keadaan alam sekitar di tanah tinggi tersebut yang ‘semakin tenat’berikutan hakisan tanah mula berlaku di beberapa kawasan.

Sumber : Utusan Online

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.