Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, program Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah mencatatkan pencapaian sebanyak 103 peratus apabila 36 kedai baharu diwujudkan berbanding sasaran 35 unit.

Menurut beliau, pelaksanaan Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) pula telah mencapai 102 peratus dengan 305 kedai runcit telah terlibat dengan program itu walaupun sasaran asal ditetapkan sebanyak 300 kedai.

“Program Pemodenan Bengkel Automatif (Atom) telah berjaya memodenkan 208 bengkel automatif berbanding sasaran 200 bengkel yang ditetapkan dengan peningkatan sebanyak 104 peratus. Tujuan program ini bagi menaik taraf bengkel supaya dapat bersaing dengan bengkel-bengkel lain yang lebih moden dan besar.

“Dalam aspek penguatkuasaan pula, sebanyak 2.6 juta pemeriksaan premis perniagaan melibatkan beberapa operasi seluruh negara dengan nilai sebanyak RM266.7 juta, sekali gus membuktikan usaha kementerian telah berjaya demi menyelamatkan wang negara dan memastikan subsidi kerajaan benar-benar sampai kepada golongan sasar,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya dan seterusnya menyampaikan anugerah tersebut kepada 238 penerima, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hasan berkata, selari dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada April ini, kementerian telah membuat perancangan teliti dan tersusun melalui penambahan perjawatan serta latihan dan advokasi bersama-sama agensi luar serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara.

Sumber : Utusan Online