Baginda menegaskan bahawa seseorang itu perlu mempertahankan apa yang betul, walaupun jika mereka perlu berbuat demikian seorang diri.

“Integriti sedemikian, bagi beta, adalah apa yang kita semua perlu perjuangkan. Itu sahaja yang boleh menjadikan kita lebih kuat dan seseorang yang lebih baik,” titah baginda semasa melancarkan buku Being Abdullah Ahmad Badawi: The Authori­sed Biography ditulis oleh bekas Ketua Editor Kumpulan The Star, Datuk Wong Sulong, di sini hari ini.

Raja Permaisuri Perak, Tuan­ku Zara Salim turut berkenan hadir di majlis itu selain Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Perdagangan Dalam Nege­-
ri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sultan Perak bertitah, kurang berintegriti telah mendatangkan musibah seperti pemberontakan atau apa yang dikenali sebagai Arab Spring di Asia Barat serta pergolakan yang dapat dilihat di negara tertentu yang berdekatan dengan tanah air.

Punca kenapa sesebuah masyarakat atau negara itu berjaya atau gagal, menurut baginda, sentiasa berpaksikan pada satu isu - berintegriti atau kurang berintegriti.

“Survival sesebuah negara dan kejayaannya, dengan itu bergantung pada integriti di semua peringkat dan paling pen­ting di peringkat kepimpinan,” titah baginda.

Sultan Nazrin mengambil perhatian bahawa ia merupakan isu yang sentiasa perlu dihadapi oleh seseorang sepertimana yang dapat dilihat menerusi apa yang berlaku di negara-negara yang jauh lebih maju dan membangun daripada Malaysia.

“Kita akan terus dalam ke­-
a­da­an baik selagi terdapat lebih banyak orang yang berinte­griti daripada yang tiada sifat itu dalam kalangan kita,” titah ba­ginda.

Baginda memberikan contoh seorang ahli akademik yang meletakkan integriti sebagai keselarasan di antara apa yang seseorang pemimpin itu katakan dengan apa yang pemimpin itu lakukan.

“Ia merupakan garis sempadan di antara nilai, kepercayaan, perkataan dan tindakan seseorang itu serta sejauh mana janji-janji ditunaikan.

“Integriti, menurut ahli akademik ini, juga amat berkait rapat dengan kejujuran, kebolehpercayaan dan keadilan dan sering dijadikan sebagai ukuran bagi karakter moral yang baik,” titah baginda.

Sumber : Utusan Online