Mungkin pihak berkuasa terbabit dalam kes tonto KDN

 MELAKA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan ada anggota pihak berkuasa turut terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah di pintu sempadan negara menyebabkan sukar untuk membanteras kegiatan itu habis-habisan.

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata kerajaan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sedang berusaha memperketatkan kawalan penyeludupan dadah di kawasan berkenaan bagi mengurangkan bekalan dan permintaan dadah.

Bagaimanapun, katanya, wujud kekangan apabila terdapat kerjasama lain antara penyeludup dan tonto, malah tidak menolak kemungkinan jika seorang daripada mereka adalah anggota pihak berkuasa negara menyebabkan usaha itu sukar dibendung.

"Kerajaan melihat usaha membina tembok di kawasan sempadan dapat menyulitkan lagi aktiviti penyeludupan dadah. Apabila usaha itu diteruskan, ia tidak membahayakan penguat kuasa agensi di kawasan sempadan.

"Masalahnya, terdapat kerjasama antara mereka (tonto dan penyeludup) dalam aktiviti ini dan saya tidak hairan jika ada anggota pihak berkuasa turut terbabit," katanya mengulas kejadian seorang pegawai JKDM cawangan Rantau Panjang, Anisah Ali, 54, meninggal dunia selepas dirempuh kenderaan dipercayai milik tonto di Kampung Banggol, pagi Jumaat lalu.

Terdahulu, beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Persidangan Antarabangsa Bandar Raya Asia Menentang Dadah (ICCE-ASCAD) kali ketujuh yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin, di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Sumber : Berita Harian Online

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.