Dakwaan Namewee lokap daif layanan buruk tidak benar EAIC

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati dakwaan penyanyi rap kontroversi, Namewee, bahawa lokap berpusat di Balai Polis Bayan Baru, Pulau Pinang dalam keadaan daif serta pendatang tanpa izin (PATI) menerima layanan teruk, adalah tidak berasas sama sekali.

Pengerusinya, Datuk Yaacob Md Sam, berkata berkata pihak EAIC membuat lawatan mengejut ke lokap berkenaan pada 5 September lalu selepas menerima laporan dakwaan itu dan mendapati dakwaan Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee tidak benar dan berdasarkan andaian semata-mata.

Yaacob berkata, dakwaan Namewee bahawa dia ditempatkan bersama 15 tahanan lain dalam bilik lokap yang kecil dan buruk tidak benar kerana hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati beliau hanya ditempatkan bersama 12 tahanan dalam tempoh kurang dua jam.

"Beliau dibawa masuk ke sel tahanan (M1-2) pada jam 4.53 petang dan ditempatkan bersama tujuh tahanan warga Myanmar dan lima warga Nepal. Pada jam 6.45 petang, semua 12 tahanan itu dibawa keluar dan ditempatkan di lokap M1-17 (lokap lain) bagi memberi keselesaan kepada beliau.

"Seterusnya, sepanjang tempoh penahanan remannya iaitu dari jam 6.45 petang pada 22 Ogos 2016 sehingga jam 7.14 pagi, 25 Ogos 2016, Namewee ditempatkan berseorangan di sel yang sama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataannya menerusi laman sosial Facebooknya pada 27 Ogos lalu, Namewee mendakwa beliau ditempatkan bersama 15 tahanan lain dari Myanmar di bilik kecil berkeadaan buruk dan terdapat tahanan warga asing yang sudah ditahan lebih 30 hari dan mungkin meninggal dunia tanpa diberikan rawatan perubatan.

Namewee ditahan reman selama empat hari di lokap itu susulan penghasilan klip video lagu 'Oh My God' yang didakwa menghina Islam. Selain itu, Yaacob berkata, secara keseluruhan, tahap kebersihan lokap dan sel di lokap berkenaan berada dalam keadaan baik dan memuaskan.

Mengenai dakwaan bahawa tahanan warga Myanmar ditahan lebih 30 hari, Yaacob berkata ia adalah berdasarkan andaian semata-mata kerana semua tahanan itu baru sembilan hari ditahan ketika Namewee dimasukkan ke lokap.

"Analisis rakaman CCTV terutama sepanjang tempoh Namewee berada bersama tahanan di sel M1-2 mendapati tahanan warganegara asing berada dalam keadaan normal dan tiada apa-apa kejadian luar biasa yang berlaku," katanya.

Sumber : Berita Harian Plus

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.