Tokan sekolah pek murah punca ramai murid gila batu

KUALA LUMPUR: Lambakan dadah yang mudah diperolehi dengan harga yang berpatutan menjadi antara punca remaja dan pelajar sekolah mudah terjebak dalam kancah penagihan dadah.

Berbeza pada waktu dadah jenis syabu diperkenalkan dalam pasaran gelap, bekalan dadah sintetik itu kini boleh diperolehi di Malaysia dalam pek serendah RM10.

Satu masa dulu, kumpulan dadah seperti syabu, ais, atau lebih dikenali dengan panggilan batu oleh penagih, boleh diperolehi dengan harga minimum RM50.

Sekarang pek RM10 mula dijual kepada budak sekolah, dulu mana dapat batu pek RM10, paling sedikit pun RM50.

Tapi sekarang pun mereka boleh tong-tong (berkongsi) beli batu, kata seorang bekas pengguna batu kepada FMT.
Tokan sekolah

Menurutnya, modus operandi pembekal batu menjadikan remaja sekolah sebagai pengedar di sekolah.

Ia kerana mereka lebih jujur berbanding pengedar, atau lebih dikenali sebagai tokan dewasa.

Tambahnya lagi, remaja sekolah yang menjual batu juga menjadikan rangkaian pengedaran dadah mereka sebagai perlindungan daripada dibuli dan dipukul di sekolah.
Ini kerana, katanya, rangkaian pengedaran batu kebiasaanya berkait rapat dengan kumpulan samseng dan kongsi gelap.

Budak sekolah kalau jadi pusher, mereka lebih jujur dan tidak curi duit. Orang dewasa tidak jujur, barang jual duit tak nampak.

Lagipun mereka jual kepada budak sekolah yang sudah pasti ada duit belanja, jadi bekalan batu sentiasa terjual, katanya.

Suatu ketika dahulu, batu yang masuk ke Malaysia diimport dari negara luar seperti Iran, namun bekalan dadah itu kini kebanyakannya diproses di dalam makmal di negara ini. Kesannya ialah bahan itu semakin murah.

Ditambah dengan kepesatan teknologi hari ini, kandungan dan bahan untuk membuat batu boleh didapati dengan mudah dengan meluas di laman perkongsian video seperti YouTube.
Statistik menunjukkan seramai 1,330 pelajar sekolah rendah dan menengah ditangkap kerana pelbagai kesalahan berkaitan dadah sejak 3 tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohd Mokhtar Mohd Sharif berkata, walaupun masih terkawal, trend itu menunjukkan peningkatan.

Pada 2014 sahaja, 439 pelajar ditangkap, meningkat kepada 443 orang pada 2015 dan 448 tahun lepas.

Lebih mahal daripada emas

Purata harga batu dalam pasaran Malaysia adalah antara RM100 dan RM150 untuk kuantiti 0.5gm.

Dahulu, kira-kira 3 atau 4 tahun lepas, 0.5gm harganya RM250. Kebiasaannya 0.5gm itu boleh berkongsi antara 5 hingga 6 orang.

Sekarang barang kita boleh proses sendiri di rumah, di YouTube ada tunjuk prosesnya, lagipun makmal membuat dadah ini banyak dalam negara sebab itu bekalan mudah nak dapat, tambahnya.

Seorang lagi bekas pengguna yang mahu dikenali sebagai Tam berkata, kebiasaannya tokan yang menjual kepada pelajar sekolah adalah penagih batu sendiri.

Tam berkata, penagih berkenaan menggunakan keuntungan daripada penjualan batu kepada remaja sekolah untuk membeli bekalan dadah untuk kegunaannya.
Biasanya penagih yang nak duit cepat nak beli dadah yang jual runcit dekat budak-budak sekolah.

Selalunya bekalan paling sikit sekarang berharga RM30 untuk 0.5gm, 0.25gm pula berharga RM70,kata Tam kepada FMT.

Barang ini lebih mahal dari emas,tambahnya.

Kaedah licik jual batu

Dia berkata, ketika menjadi pengguna batu, urusan pembelian juga dilakukan dengan cepat seperti khidmat pandu lalu bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Kita beritahu warna kereta, dadah jenis apa, dan kuantiti, nanti ada orang hantar, turunkan tingkap kereta, ambil barang dan selesai, katanya.

Tam berkata, terdapat kod tertentu yang digunakan antara tokan dan pembeli bagi memudahkan urusan mereka.

Antara kod tersebut katanya adalah sejuk yang merujuk kepada batu, panas merujuk kepada heroin dan babi yang digunakan merujuk kepada anggota polis.

Tam yang kini bebas daripada penagihan batu berkata dia pernah cenderung untuk membunuh diri ketika terjebak dalam penagihan dadah.

Atas dorongan keluarga dan tiada duit nak beli barang, saya memutuskan untuk berhenti, katanya yang kini menjalani kehidupan yang lebih sihat.

Benda batu ini dah jadi lagi teruk daripada kanser. Penagih batu ini makin ramai.
Ia tiada istilah cuba-cuba. Sekali cuba, terus lekat, nak berhenti bukan senang. Harga mahal. Bila dah ketagih, sudah tentu kena beli. Duit habis sebab batu sahaja, bila tiada duit, macam-macam benda jadi, bunuh bapa, merompak, meragut dan sebagainya, kata Tam.

asihat saya, jauhilah benda sial ni.

source :  FMT News

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.