Penjawat awam perlu hati hati terima hadiah SPRM

Penjawat awam perlu berhati-hati apabila menerima hadiah daripada pihak lain kerana undang-undang sedia ada boleh menyabitkan perbuatan berkenaan sebagai rasuah, kata Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jamil Mohd Dahlan.

Ia adalah satu kategori rasuah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang sering tidak diendahkan penjawat awam, berkemungkinan kerana mereka tidak mengetahui atau tidak jelas tentang intipati yang diperlukan untuk membolehkan mereka dituduh, katanya.

"Ia sebenarnya adalah kes yang sangat mudah dibuktikan kerana tiga intipati saja diperlukan iaitu pegawai awam yang menerima hadiah, menerima hadiah yang bernilai dan menerima hadiah itu daripada orang yang mempunyai urusan rasmi.

"Saya berharap penjawat awam lebih berhati-hati kerana ada sesetengah daripada mereka bukan saja menerima hadiah tetapi mengambil gambar hadiah itu," katanya pada forum ‘Hidup Penuh Erti Tanpa Rasuah dan Dadah: Perspektif Integriti’ di Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan(AADK), di Kajang.

Sementara itu, Ketua Pengarah AADK Datuk Dr Abd Halim Mohd Husin berkata ketagihan dadah sudah dikategorikan sebagai penyakit dengan Kementerian Kesihatan turut membantu untuk memulihkan penagih-penagih ini.

Di Malaysia, menurutnya terdapat dua pendekatan iaitu menggunakan pendekatan spiritualiti serta pendekatan menggunakan pemulihan dan perubatan.

Dr Abd Halim berkata negara kini berhadapan dengan penagihan dadah melibatkan ketidakfungsian psikologi akibat pengambilan bahan kimia yang merosakkan sistem saraf dan Kementerian Kesihatan sememangnya berusaha mempelajari amalan-amalan negara luar dalam menggunakan pendekatan perubatan.

"Kita juga melihat kepada penagih yang mengalami psikologi tidak stabil yang menyebabkan mereka mengalami halusinasi, skizofernia dan paranoid… yang tentunya memerlukan mereka dibantu," katanya.

Menurut statistik AADK, jumlah penagih yang dikesan mengikut status kes dari Januari hingga Mei tahun ini ialah sebanyak 6,435 kes penagih baharu dan 2,656 kes berulang, mencatatkan pengurangan berbanding tempoh sama pada 2017, iaitu 7,982 penagih baharu dan 3,332 penagih berulang.

- Bernama

Sumber : Malaysiakini

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.